BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, January 20, 2011

Jangan Mudah Untuk Menilai

Manusia itu terlalu mulia jika ingin dibezakan dengan keturunan dan nasab, maka dengan itu Allah jadikan anak Nuh a.s tidak ikut serta bersama bapanya.

Manusia juga terlalu mulia jika mahu dikategorikan dengan harta benda, maka dengan itu Allah pilih Bilal b. Rabbah memeluk Islam terlebih dahulu berbanding beberapa sahabat yang kaya-raya.

Manusia juga terlalu mulia jika mahu dibeza-bezakan dari segi akal dan kecerdikan, maka sebab itu Allah pilih untuk meredhai para sahabat yang belum lagi nampak Islam itu gemilang, belum lagi ada ilmu tauhid, ilmu fiqh, ilmu hadis dan lain-lain, berbanding kita yang sudah terima ilmu yang bermacam-macam.

Kebiasaannya manusia melihat dan menilai mengikut apa yang zahirnya yang dirasakan itu mulia. Biasanya mereka akan nampak orang kaya lebih mulia daripada orang miskin, orang cerdik pandai lebih mulia daripada orang yang kurang cerdik, orang yang kuat dan gagah perkasa lebih mulia daripada orang yang sakit dan lemah.

Jika mizan atau timbangan kita menilai sesuatu perkara atas asas-asas yang tadi, maka berjayalah jahiliyyah dalam mengkategorikan dan memecah-mecahkan saf muslimin. Ini kerana jiwa manusia cenderung untuk bersama dengan orang-orang yang dianggap sebagai mulia, seperti kuat, gagah, kaya, cerdik dan sebagainya.

Kes ini jelas Allah rakamkan dalam surah Al-Fajr ;

"Adapun manusia itu jika Tuhannya mahu mengujinya, lalu dimuliakannya dan diberikan nikmat padanya, nescaya dia akan berkata : Tuhanku telah memuliakanku !"

"Adapun sekiranya Tuhannya menyempitkan rezekinya, nescaya dia akan berkata pula : Tuhanku telah menghinakanku !"

Ia jelas menunjukkan kayu ukur seorang manusia yang biasa, terhadap apa yang zahir untuk mengukur sesebuah kemuliaan. Kayu ukur itu sebenarnya adalah hawa nafsu yang hanya sukakan syahwat dan kesenangan sementara. Manusia yang berbeza-beza tidak akan mampu bersatupadu di atas asas yang berubah-ubah itu.

Islam datang, untuk menyelesaikan masalah manusia, dan memberi keamanan sejagat kepada dunia, seluruhnya. Ia datang menyelesaikan masalah manusia, pada mula-mula sekali dengan meletakkan mizan dan kayu ukur yang benar dan tepat, agar manusia boleh membuat keputusan yang tepat dan benar dalam segala perkara.

Islam meletakkan wahyu dan iman sebagai kayu ukur yang tak pernah berubah, dan ia adalah asas kepada satu-satunya perubahan yang kekal dan mengufuk. Jika kita mahu membuat satu bangunan yang tinggi dan menjulang ke langit, sudah pasti tapaknya perlukan bahan binaan yang sangat kuat, dan tahan lama.

Akidah dan iman merupakan satu asas yang tak pernah berubah dari zaman permulaan wahyu hingga hari akhirat. Dengannyalah Islam berkembang maju, dengannya dakwah tersebar ke seluruh pelusuk alam. Hanya dengan asas ini, Islam mampu bergerak, mampu mendapat pertolongan Allah, mampu menakluk dunia dan membawa seluruh manusia kepada Tuhannya.

"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang paling bertaqwa" - Surah Al-Hujuraat

0 comments: